Monday, 29 June 2015

PENGENALAN

Dalam unit ini, kita akan mempelajari beberapa konsep pengurusan yang diamalkan oleh sesetengah organisasi. Konsep-konsep pengurusan sebenarnya telah bermula sejak zaman purba lagi seperti zaman Mesir kuno, Zaman Jahiliyyah dan sebagainya. Bolehkah anda nyatakan konsep-konsep pengurusan tersebut ?
 
Secara umumnya, konsep pengurusan yang menjadi amalan organisasi pada masa kini boleh kita bahagikan kepada tiga kategori iaitu :
 
  1. Konsep Pengurusan Islam
  2. Konsep Pengurusan Barat
  3. Konsep Pengurusan Jepun

KONSEP PENGURUSAN ISLAM

Sebagaimana yang kita maklum, sistem pengurusan Islam adalah lengkap dan sistematik di mana ia berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Prinsip pengurusannya jelas, penyusunan dan perancangan pengurusan yang teratur, pengawasan yang meyeluruh dan terperinci, dan motivasi yang mempunyai asas yang kukuh untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan tidak semata-mata kebendaan dan keduniaan sahaja.

DEFINISI PENGURUSAN ISLAM

Di dalam pengurusan Islam , terdapat beberapa sarjana-sarjana Islam telah mengutarakan definisi pengurusan. Di antaranya :
 
1. Ahmad Ibrahim Abu Sin
  • Pengurusan sebagai satu kajian ilmiah terhadap bakat dan kebolehan serta kemahiran seseorang menjadi pengurus.
2. Profesor Syed Othman Alhabshi
  • Pengurusan merupakan suatu proses mendapat dan mencantumkan sumber-sumber kewangan, modal, tenaga manusia dan sebagainya untuk mencapai matlamat organisasi sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.
3. Muhammad A. Al-Buraey
  • Pengurusan merupakan penyelarasan tenaga manusia untuk mencapai matlamat kelompok sebagai makhluk sosial yang perlu berinteraksi antara satu sama lain.

MATLAMAT DAN OBJEKTIF PENGURUSAN ISLAM


  • Menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh Allah dengan adil dan memelihara perhubungan yang baik sesama insan.
 
  • Memakmurkan mukabumi ini dengan cara yang diredhai.
 
  • Melaksanakan syariah Islam iaitu ibadat, muamalat dan hukum-hukum Islam yang lain.
 
  • Mencari keredhaan Allah walaupun ketika berurusan dalam hal-hal duniawi.
 
  • Memastikan bahawa Islam itu sentiasa lebih tinggi darjatnya daripada hal-hal lain.

PRINSIP-PRINSIP PENGURUSAN ISLAM

Tiga prinsip pengurusan Islam yang penting ialah:-

1. Demokrasi

Demokrasi ialah jaminan hak individu untuk bertindak bagi mendapat dan mempertahankan hak. Namun demikian Islam menekankan kewajipan tentang memelihara hak masyarakat. Islam menjamin hak individu dan masyarakat secara serentak dengan mewajibkan setiap individu bersifat benar, jujur, ikhlas, amanah, bertanggungjawab dan adil dalam pengurusan. Umat Islam mesti menjauhkan diri dari sifat-sifat mazmumah seperti bohong, mungkir janji, mengampu dan sebagainya.

2. Syura

Prinsip syura dalam pengurusan merangkumi perundingan, perbincangan dan mesyuarat dengan kakitangan bagi memastikan peluang penyertaan diberi kepada setiap ahli organisasi untuk memberikan pendapat bagi mencapai keputusan bersama. Prinsip ini akan memperkukuhkan lagi demokrasi, sifat amanah, benar dan ikhlas dalam diri individu.

3. Delegasi

Delegasi atau agihan dan penyerahan tugas dilakukan mengikut kemahiran, kelayakan dan minat seseorang di dalam memangku tugas yang diberikan oleh pihak pengurusan atau ketua. Orang yang diberi kuasa ini bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas dan membuat keputusan dengan amanah tetapi tanggungjawab sepenuhnya masih disandang oleh pihak pengurusan.

CIRI-CIRI PENGURUSAN ISLAM


Ciri-ciri Umum

1. Ikatan yang erat antara pengurusan dengan masyarakat. Ikatan itu ialah akhlak, nilai masyarakat dan perubahan masyarakat yang berasaskan akhlak.

2. Pergolakan dan perubahan ekonomi yang memberikan kepuasan fisiologi, individu, ekonomi dan kebendaan.

3. Kemanusiaan dan kerohanian. Ia menghormati hakikat kemanusiaan sebagai insane yang terlibat dengan pengurusan mengikut keupayaan akal, fizikal dan jiwa.

4. Menentukan tugas dan tanggungjawab. Mematuhi dan menghormati kuasa, peraturan undang-ndang rasmi serta carta organisasi dan bukannya melakukan tingkahlaku pengurusan yang baik kerana mengharapkan ganjaran pahala.


Ciri-ciri Khusus

a.    Pengurusan Islam merupakan sebahagian daripada sistem masyarakat bagi menentukan matlamat hidup dan hubungan masyarakat dan hubungan manusia dengan manusia, manusia dengan Allah, manusia dengan masyarakat dan hubungan manusia dengan alam. Pentadbiran dan pengurusan dalam Islam termasuk dalam lingkungan ibadat sebagaimana dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran:

“Katakanlah : Sesungguhnya sembahyangku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan semesta alam”.

(Surah Al-An’am : 6:162)

b.    Islam menjelaskan bahawa pekerjaan dan jawatan khususnya di dalam pengurusan dianggap sebagai suatu amanah dan tanggungjawab seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran yang bermaksud :
   
“Sesungguhnya Allah s.w.t menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil”.

(Surah An-Nisa : 4:58)